Tuesday, September 15, 2009

Satu Malam Seribu Pengajaran (24 0107H Jun 2009)

Alkisah maka bermulalah cuti sekolah, maka bakal guru ini pun turut bercuti di Kuantan. Daerah kelahiran. Rumah kelahiran. Tanah kelahiran. Takwim menujukkan cuti selama 3 minggu. Otak sudah mula ligat merancang itu dan ini, begitu dan begini. Namun bila tiba ketikanya, jasad mula bosan, dengan wang poket yang tidak seberapa, maka terbantutlah banyak perancangan.

Hendak tak hendak, kerjalah. Membantu teman menyiapkan lanskap rumah kakaknya. Dapatlah upah untuk perbelanjaan sara cuti. Rokok. Dan sebagainya...

Satu malam, ketika sudah terlelap pulang membanting tulang. Mata tercelik. Tak terlena pula. Jam masih awal. Malam masih muda. Dengan tiada arah tuju, pergilah aku ke Taman Esplenade aka Benteng. Termenung, teringat kisah bersama Wan Nordiah Azfar, kira-kira 6 tahun dulu...

Bosan kembali...

Tiba-tiba, teringat akan hobiku ketika berada di Kuantan bersama Encik Daud yang budiman sebelum beliau bekerja di Kuala Lumpur kini. “Power Kite”!

Maka terdetik hasrat hati untuk saja menziarahi “sifu” Power Kite kami di kedai satenya. Anding. Itu bukan namanya. Kedainya si Anding ini terletak di Jalan Wong Ah Jang. Sesiapa orang Kuantan, tentu tahu jalan ni ada apa yang paling popular. Ya, ‘Night Club’.

Aku pun pergilah ke kedai ni. Seperti biasa, dia akan membelanja 10 cucuk sate buatannya dengan reseipinya sendiri. Kadang-kadang aku rasa dia gila, tapi kekadang pula otaknya geliga. Maka terhasillah semua seperti dia hari ini. Dengan kedai sate dua cawangannya.

Sebelum-sebelum ini aku memang selalu habiskan masa di sini. Sambil bertemuramah dengan pekerjanya yang bernama Peah, juga bukan namanya. Antara topik paling hangat aku dan dia ialah “Pelacur Bawah Umur” yang bekerja di situ.

Terdetik pula hari itu aku beritahu Rashid aku nak tau semuanya pasal kehidupan kat sini. Maka banyaklah yang dia terangkan pada aku. Tapi bukan cerita mulutnya yang ingin aku jadikan intipati tulisan ini, sebaliknya pengalaman aku sendiri. Yang aku nampak dengan mata aku sendiri.

Tiba-tiba, datang dua orang wanita berbaju hitam. Pakaiannya macam biasa. Sesuai dengan pakaian di situ. Seorang tu aku agak usianya 25 tahun dan seorang lagi aku agak 50an. Keduanya datang kearah aku. Yang muda tu, pakaiannya mendedahkan lurah yang memang saiznya agak besar. (Malu aku menaip). Aku tanya Peah, siapa dua orang ni. Peah jawab mereka berdua anak beranak. Anaknya lahir di sini. Dan meneruskan karier ibunya. Aku tanya pula si Anding, laku lagi ke perempuan tua tu. Anding tak menjawab sambil menggelengkan kepala dan mencebik bibirnya. Aduh. Berat kepala aku nak terima. Tapi nampaknya inilah hakikat dunia.

Sesekali mata aku memandang pasangan anak-beranak tu. Melihat gelagat ‘bisnes tak laku’. Bukanlah galmour pun yang dicari kat sini. Peah pun pernah beritahu aku gaji pun murah je. Tak sampai RM 1000 pun. RM 700 pun belum tentu. Sebulan.

Teringat aku ketika awal-awal aku memasuki dunia malam Jalan Wong Ah Jang ini, aku berborak dengan Peah. Niatnya setelah mebaca isi kandungan Mastika, aku ingin melihat dengan mata kepala aku sendiri. Melihat mengapa masih tiada tindakan sepatutnya diambil. Dan di datangi seorang perempuan muda yang memang aku tak mampu nak nafikan kecantikan bentuk badan dan rupa parasnya serta seksinya. Bersama dia ada seorang perempuan tua yang berkebaya dan batik sambil mendukung seorang anak yang berusia kira-kira 2 bulan. Macam mana aku tau 2 bulan, nanti aku bagitau. Si muda tu pula memimpin tangan seorang lagi kanak-kanak. Aku tak dapat nak pastikan pula jantinanya. Baik, terus dengan kisah ni. Aku tanya Peah, siapa ni. Peah jawab ni pun ‘businesswomen’ kat sini gak. Dua-dua beranak. Nak ditambahkan sedih lagi, bayi yang dalam dukungan si mak cik tua tu adalah cucunya. Ibunya perempuan muda itu. Umur si perempuan muda itu baru 21 tahun. Tetapi anaknya 7. Dan bayi tu baru saja lahir dan katanya dia masih dalam pantang. Terkejut aku dengar. Siapalah bapa bayi ni nanti? Siapa wali dia nanti? Kalau dia masih berada di sini, mana dia nak cari sinar hidupnya lepas ni?

Itu kali pertama dan terkahir aku nampak mereka. Selepas ini entah ke mana pula.

Sedang berborak, Anding ajak aku masuk satu kelab. Aku dah cakap yang aku tak masuk kelab-kelab ni. Cuma tengok dari luar sahaja. Tapi cadangan itu seakan paksaan dari dia. Maka aku ekori perjalanan dia. Sampai ke pintu kelab, aku memanjangkan leher melihat kedalam. Lenyapnya Anding di balik pintu, aku bergegas kembali ke kedai satenya. Meneruskan agenda malam dengan Peah. Aku terpaksa berlari-lari anak kerana pakaianku iaitu jeans dan jaket hitam membuatkan org melihatku seperti melihat polis berpakaian preman.

Satu gambaran jelas tentang apa yang ada di dalam kelab itu. Aku lihat semua namun sekelip mata. Perempuan di sana macam mana pakaiannya, apa yang berlaku di bar itu. Aku tak rasa nak tulis semua tu. Tentu yang membaca dapat gambaran sendiri.

Setelah beberapa ketika, Anding keluar dan membebel dekat aku. Puncanya, kenapa aku tak masuk. Memang tempat itu bukan tempat aku. Sekadar aku ingin melihat dan kenal akan kehidupan malam yang ramai sangat orang gila-gilakan ni.

Terus, hampir jam 1 pagi. Datang seorang perempuan muda yang cantik. Suaranya serak. Bajunya menampakkan lengan, separuh dada, 3 inci di atas dan bawah pusat. Seluar jeans yang dipakai rendah dari pusat dan selabuh hanya separas sepertiga paha. Dia memesan sate RM 15. Sambil itu aku pandag atas bawah, atas bawah, atas bawah. Duduknya pula betul-betul di depan aku. Malam itu, untuk kali pertama aku goyah. Aku cuba memulakan perbualan. Ku tanya namanya, Apple dia jawab. Sekali Peah membisikku dan berkata nama sebenarnya Ana. Asal Sarawak. Bermacam-macam soalan aku tanya. Setiap satunya dia jawab sepatah. Aku tahu kerana soalanku tidak menjurus kearah perniagaannya, maka sebab itu dia tidak berminat.

Apple tadi pun pergi setelah satenya siap dibungkus. Aku tanya pula si Anding, berapa bayaran satu malam servis dan macam mana? Anding kata tak sampai RM 100 semalam. Ngomel dia pula, “Nilah pelacur Melayu bodoh. Kalau Cina atau bangsa lain tu boleh dapat dekat RM 500 sekali servis”. Bandingnya dengan suasana KL. Berbanding KL, kat sinilah paling ramai pelacur Melayu dengan harga yang murah. Aku tak dapat nk tuliskan macam mana cara untuk deal servis tu. Supaya tiada orang lelaki yang baca tahu macam mana nak buat dan buat. Tapi, caranya memang mudah. Janji ada wang.

Bosan melepak, orang pun kurang datang ke kedainya, Anding mengajak aku berjalan kaki pula. Menyeberang kedai-kedai di situ, aku beberapa kali Anding singgah bertanya orang-orang di sini tentang ‘bisnes’ mereka. Aku rasakan tentu dia ni ramai kenalan di sini. Terus berjalan, melewati deretan bangunan. Terjumpa pula kelompok yang ‘separuh-separuh’. Suara macam lelaki tapi badan macam perempuan. Cuma kalau dilihat, iman aku pun boleh goyang. Nasib baik takde apa yang terjadi. Aku dan si anding menyeberang jalan. Melihat suasana seberang pula. Dia menerangkan padaku bahwa wanita-wanita yang aku nampak yang ada berpeleseran di sekitar tempat aku berjalan ini adalah golongan ‘businesswoman’ waktu malam. Dengan reaksi aku yang amat terkejut, aku bertanya, tiada apa tindakan ke? Anding senyum sahaja. Aku terkejut kerana aku fikir semua kat situ kaki lepak saja sebelum ni. Rupanya butterfly juga. Ramainya. Musnah Kuantan daerahku.

Aku menyeberang jalan besar pula. Melihat bapok-bapok di sekunyit. Tiba-tiba aku terdengar bunyi kereta berlanggar. Aku melihat di jalan raya, tiada pula kemalangan. Puas mencari aku tak jumpa puncanya. Aku dan Anding meneruskan perjalanan malamku. Sampai sahaja seberang jalan, sekali lagi aku terkejut, sebuah kereta Kenari melanggar sebuah Proton Waja secara berulang-ulang. Teruk, kemek sudah bumper kereta tu. Wanita yang memandu Kenari itu masih lagi ‘reverse’ keretanya dan kemudian menekan minyak sekuat hait dan melanggar Waja itu. Puas orang sekeliling cuba menenteramkannya. Namun dia berdegil. Selebihnya sekadar menelefon polis sahaja. Ada pula beberapa orang yang menyuruh aku pergi mengawal keadaan kerana aku sekadar berdiri di tepi dan tidak mahu memecahkan penyamaran aku. Maklumlah, pakaian aku tadi seperti seorang preman. Aku hanya berdiam diri, tak mahu masuk campur tentang masalah di sini. Seketika, turun seorang lelaki Cina dari tingkat atas sambil sedang cuba membutangkan bajunya. Aku dapat agak apa yang berlaku di situ sebenarnya. Anding memberitahuku siapa lelaki ini. Ya, bapak ayam kat sini. Tapi terang Anding lagi, laki bini ni ‘business partner’.

Polis datang. Masa tu bapok-bapok keliling aku pun borak-borak. Melihat sahaja situasi tu. Ada yang ambil nombor plat kereta tu. Untuk nombor ekor agaknya. Malangnya, itu bukan cara aku. Ahaks…

Aku rasakan malam itu dah terlalu berat untuk aku terima. Aku pun berjalan ke kedai temanku tadi. Dan terus meminta diri untuk pulang. Terlalu berat untuk aku fikirkan apa yang aku telah lalui malam ni.

Terdetik dari saat aku pertama kali melihat suasana malam di Kuantan ini, sehingga sekarang. Aku masih tertanya-tanya, tiada tindakan tegaskah yang diambil bagi mengatasi masalah ni. Hendak aku siasat semuanya, aku tidak mampu. Aku hanyalah seorang remaja yang sedang mencari pengalaman hidup, bukan untuk ku amalkan, untuk aku sedar bahawa aku perlu hindari.

-safwan-

No comments:

Post a Comment